Reka bentuk Kenderaan_utiliti_sukan

Jeep Cherokee.

Walaupun rekaan mungkin berbeza, SUV secara tradisionalnya adalah kenderaan saiz sederhana dengan casis jenis badan atas kerangka sebagaimana lori ringan. SUV terawal kebanyakannya jenis dua pintu dengan bumbung boleh tanggal. Namun demikian, berikutan permintaan pasaran serta peraturan lebih ketat menjurus kepada SUV empat pintu, model SUV dua pintu sudah pupus menjelang 2002. Setakat 2011, hanya Jeep Wrangler sahaja kekal sebagai SUV 2 pintu, walaupun Jeep turut menawarkan varian 4 pintu. Sejak pertengahan 1990an, pasaran SUV 2 pintu dirampas oleh SUV 4 pintu.

Kebanyakan SUV direka dengan ruang enjin serta ruang penumpang dan kargo yang digabungkan. SUV kecil mempunyai dua baris tempat duduk manakala SUV saiz sederhana dan besar mempunyai tiga baris tempat duduk dengan ruang kargo betul-betul di belakang tempat duduk paling belakang. Penahan kargo ada kalanya turut disertakan bagi melindungi penumpang daripada muatan kargo yang muungkin akan melambung semasa nyahpecutan tiba-tiba atau pelanggaran.

SUV dikenali kerana badannya yang berkotak serta mempunyai kelegaan tanah yang tinggi, di samping titik H yang tinggi. Ia menjadikan SUV lebih mudah terbalik berikutan pusat graviti yang tinggi. Badan SUV kini semakin lebih aerodinamik, tetapi saiz yang besar serta badan yang berat menjadikan SUV kekal kurang jimat minyak.